Wednesday, 26 September 2012

Stress di jalan raya



Pernah kakak saya mengalami  stress ketika memandu di jalan raya, terutamanya di kawasan yang terlalu sibuk. Saya tidak faham dengan sikap pemandu kenderaaan dan penunggang motosikal yang bagi saya kebanyakannya boleh dikatakan biadab. Ianya berlawanan dengan sikap rakyat Malaysia yang terkenal baik hati dan bersopan santun. Saya tidak tahan dengan cara mereka memandu atau menunggang, bagi saya boleh menyebabkan kemalangan.


Satu dari sikap buruk mereka, yang saya tidak suka, ialah memotong barisan sesuka hati. Kita dah berpuluh minit menunggu dengan sabar, tiba-tiba dia datang “mencilok” di hadapan. “Orang lain pun nak cepat juga, bukan awak sorang”, inilah ayat marah yang biasa terkeluar dari mulut kakak saya. Perbuatan “mencilok” ini boleh menyebabkan kemalangan dan kesesakan. Tidak kurang juga yang suka memotong walau hanya terdapat sedikit ruang, tidak kira dari kanan atau dari kiri. Mereka tidak hiraukan keselamatan orang lain, yang mereka fikir adalah untuk cepat sampai ke destinasi mereka.


Satu lagi tabiat pemandu yang saya tidak suka, walaupun tidak boleh dianggap kurang sopan, ialah sikap mereka yang suka “menyibuk”. Perbuatan tersebut sering menyebabkan kesesakan jalan raya. Sebagai contoh, kakak saya & saya pernah tersangkut selama 45 minit di bandar Kuala Lumpur. Saya tidak tahu apa yang menyebabkan kesesakan tersebut. Laporan trafik di Radio Hot FM tidak melaporkan tentang kesesakan tersebut. Akhirnya saya dapat tahu punca kesesakan, iaitu setelah sampai di situ. Saya dapati kesesakan disebabkan oleh kehadiran kotak kayu pecah di bahu jalan. Trafik berjalan dengan lancar selepas lokasi tersebut.


Justeru saya simpulkan bahawa kesesakan disebabkan oleh sikap pemandu yang memperlahankan kenderaan mereka untuk menyibuk melihat kotak yang pecah tadi. Kesesakan tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana lorong laluan trafik tidak langsung terhalang. Pernah juga berlaku kesesakan disebabkan pemandu yang menyibuk untuk melihat beberapa orang mat motor berhenti di bahu jalan. Inilah yang membuat saya selalu geram. Merugikan masa dan petrol sahaja.


Sebenarnya situasi tidak menyebabkan tekanan pun tetapi reaksi kita kepada situasi yang menyebabkan tekanan. Ini semua orang tahukan? Yang susahnya, bagaimana nak mengubah reaksi kita. Ia sudah menjadi seperti otomatik.


Saya dapati bahawa terdapat tiga perkara asas yang membuat kita memberi reaksi tertentu dalam apa-apa situasi. Berikut adalah cerita  situasi di jalan raya:


Pertama; Apa sebab sebenar kita marah dengan sikap pemandu dan penunggang? Ia adalah cara untuk menyatakan diri kita betul. Kita betul dalam mengatakan kebanyakan pemandu dan penunggang di Malaysia biadap. Reaksi marah kita adalah untuk mewajarkan pendirian kita bahawa kita betul.


Kedua; Kenapa kita merasa geram apabila pencilok mencilok di hadapan kita? Jika difikirkan kita hanya akan terlewat seminit dua jika memberi laluan kepada beliau. Geram bukan disebabkan pencilokan tetapi berpunca dari makna yang kita berikan kepadanya. Sekiranya kita tidak memberi laluan bermakna kita menguasai beliau. Sekiranya kita terpaksa memberi laluan, bermakna beliau menguasai kita. Sifat manusia biasa adalah ingin menguasai orang lain dan tidak mahu diri dikuasai orang lain.


Ketiga; Kini kita juga faham bahawa tindakan mengeluarkan kata-kata kesat adalah untuk memperlihatkan tindakan mereka tidak wajar. Atau dengan kata lain, melabelkan mereka sebagai tidak berguna.

Kita juga sedar dan faham akan kesan reaksi tersebut ke atas diri kita. Saya tidak mahu kita berterusan mengalami tekanan setiap kali berada di jalan raya. Justeru jelas kepada kita tindakan yang perlu ambil, iaitu:


Pertama; lupakan niat untuk buktikan kita betul, walaupun kita tahu kita betul.


Kedua; Tidak lagi mahu menguasai mereka. Biarlah mereka dengan sikap mereka.Kita beri mereka laluan. Ini bukan bermakna kita bersetuju dengan sikap mereka. Mereka juga tidak akan dapat menguasai kita sekiranya tidak memberi reaksi terhadap sikap mereka.


Ketiga; Memaafkan kesilapan mereka. Dengan memaafkan, tiada lagi yang tersimpan di hati. Justeru kita akan menjadi tenang.


Jika kita mengamalkan perkara di atas nescaya kita tidak lagi mengalami tekanan apabila berada di jalan raya. Sikap pemandu atau penunggang dan kesesakan jalan raya tidak lagi menyebabkan tekanan (stress) kepada kita. Ahli keluarga kita kini boleh menikmati suasana tenang dan gembira ketika berada dalam kenderaan bersama-sama kita.




No comments:

Post a Comment