Assalamualaikum WBT
Hari ini saya ingin bercerita tentang jodoh. Saya percaya, ramai pembaca blog ini terdiri daripada orang yang bujang.
Sebab ramai juga ingin tahu bagaimana nak mendapat cinta sejati yang sehingga membawa ke alam perkahwinan. Mencari cinta sejati bagi bahasa orang biasa memang bukan senang.
Percayalah. Sebenarnya tidak wujud cinta sejati. Sebelum berkahwin mungkin cinta sehangat gunung berapi tetapi selepas berkahwin perasaan cinta tidak ada lagi.
Ataupun sebelum kahwin dan selepas kahwin cintanya sehangat api yang membara. Tetapi apabila salah seorang yang meninggal dunia, ia bukan lagi sejati. Bermakna cinta sejati memang tidak wujud dikalangan manusia.
Cinta sejati hanya wujud antara seorang hamba dan Sang Pencipta iaitu Allah SWT. Jadi mulai saat ini, mari kita ubah pemahaman kita tentang cinta sejati terlebih dahulu.
Mengapa susah nak dapat jodoh ? Ada yang percaya dalam diri ada SAKA, ada penunggu, Aura bocor dan busuk dan macam-macam lagi. Itu yang pergi berubat di merata tempat untuk buang suwey itu ini.
Sebelum kita pergi lebih jauh ke dalam sedikit, kita sering terrtanya, perlukan bercinta dahulu baru berkahwin ? Atau anda setuju , mengamalkan cinta selepas berkahwin ?
Selalu kenal pepatah, tak kenal maka tak cinta? Jadi bererti tak semestinya bercinta baru berkahwin. Lepas kenal, kahwin kemudian baru bercinta.
Mengapa kita disarankan kahwin dulu baru bercinta. Banyak kelebihannya. Yang paling ketara ialah banyak jimat masa, wang, perasaan dan dapat elak daripada banyak melakukan dosa.
Anda mungkin pernah alami bercinta selama 5 tahun tetapi akhirnya tidak berkahwin. Berapa banyak masa dan wang sudah dihabiskan. Jika sehari belanja RM50 setiap kali berjumpa dalam masa 5 tahun dah cukup buat hantaran kahwin.
Itu kalau sehari keluar belanja RM50. Kalau beratus sehari belanja lagi boleh beli kereta cash. Jadi sekarang jika kita masih bujang dan sedang mencari jodoh, jangan fokus untuk mencari cinta.
Fokus mencari isteri atau suami. Cinta selepas dah kahwin. Kerana anda sudah pun mempunyai cinta sejati. Anda tak sedar, setiap malam Kekasih anda sedang menunggu anda untuk meluahkan segala masalah anda.
Pernah jumpa kekasih yang sanggup mendengar rintihan mengadu masalah ? Itulah Allah kekasih sejati. Yang sentiasa menunggu anda setiap malam untuk anda mengadu masalah.
Tetapi kebiasaannya kita buat apa waktu malam ? Kita tidur sebab terlalu penat balik lewat dan nak bangun pagi pergi kerja atau nak cari cinta.
Semoga selepas ini kita perbaiki hubungan kita dengan Allah jika kita ingin menjadi kekasih Allah (peringatan untuk diri saya).
Mencari jodoh juga banyak dugaan. Jika tak ikut pada jalan yang benar, memang mudah terpedaya dengan perangkap yang akan menjadi lebih parah. Parah bermaksud banyak berlandaskan nafsu.
Tak mustahil juga masa dan tenaga banyak terbuang dengan menumpukan pada hasil yang tak pasti. Tak pasti maksudnya setiap kenalan perlu tahu matlamat hidup. Tanya pada kenalan masing-masing, apa yang dia inginkan.
Jika hanya sekadar untuk berkawan, maka kita boleh tahu setakat mana cara kita nak melayan. Jika ada tanda nak membina keluarga bersama, maka ada harapan untuk fokus untuk perkahwinan.
Sebenarnya lagi bagus bercinta bila dah bersedia untuk kahwin. Maksudnya duit dah ada. Jadi tak pening kepala sangat bila masing-masing dah bersedia nak kahwin.
Tetapi kalau dah namanya jodoh, kadangkala tak ada duit pun boleh kahwin juga akhirnya. Ada juga yang dah ada banyak duit tapi tak kahwin lagi. Apa yang nak ditunggu tak tahulah. Setiap tahun, umur terus meningkat.
Kita kena juga keluar bersosial seperti menyertai ceramah, seminar, kenduri kahwin, di tempat yang positif bukan bersosial di tempat negatif untuk mencari jodoh. Orang negatif pun kalau nak cari jodoh tak pergi tempat yang negatif.
Bila dalaman diri nak diubati dan diperbaiki, setting pada minda juga penting. Jika dah dapat bayangkan bagaimana rupa suami atau isteri yang nak dicari, ia akan muncul dalam hidup anda tambah pula dengan amalan doa mendekatkan jodoh ini:
DIANTARA SYARAT-SYARAT DO’A DIMAKBULKAN
1- Berdoa dengan penuh keikhlasan dengan terus mengharapkan agar doa tersebut dimakbulkan oleh Allah.
2- Berdoa dengan penuh kesungguhan dan tidak jemu mengulang-ulanginya.
3- Berusaha mengelakkan diri dari melakukan perkara yang dilarang dibenci oleh Allah.
4- Memastikan makanan,minuman dan pakaian yang dipakai dan rezeki yang diperolehi hasil dari usaha yang halal.
5- Memohon kemaafan dari manusia yang pernah kita zalimi atau aniyai, kerana doa seseorang tidak akan dimakbulkan sekiranya mereka menzalimi dan menganiyai orang lain dan tidak mendapat kemaafan dari mereka.
6- Mematuhi adab-adab sebagai seorang hamba yang berdo’a di hadapan Khaliqnya yang Maha Mendengar dan Maha Melihat.
DIANTARA WAKTU KEADAAN DAN TEMPAT YANG MUSTAJAB UNTUK BERDOA
1- Malam Lailatul Qadar.
2- Pada sepertiga malam yang terakhir (antara jam 3.00 hingga 6 pagi).
3- Selepas setiap solat fardhu yang lima.
4- Masa di antara azan dan iqamah.
5- Beberapa saat di setiap malam.
6- Ketika azan untuk solat fardhu
7- Ketika hujan sedang turun
8- Ketika mempersiapkan barisan menuju medan jihad fi sabilillah
9- Beberapa saat pada hari Jumaat. Menurut pendapat yang kuat, waktu yang dimaksud adalah akhir waktu solat Asar di hari Jumaat, saat khatib berkhutbah, atau saat berlangsungnya solat Jumaat.
10- Ketika minum air zam-zam beserta niat yang baik
11- Ketika sujud dalam solat
12- Ketika terbangun di tengah malam maka berdoa menggunakan doa yang ma’tsur (berasal dari Nabi S.A.W)
13- Ketika tidur dalam keadaan suci kemudian bangun di malam hari untuk berdoa.
14- Doa di Hari Arafah
15- Doa ketika seseorang dalam keadaan nazak (hampir meningal dunia)
16- Doa sesudah pujian terhadap Allah dan selawat ke atas nabi ketika tahiyyat akhir.
17- Ketika berdoa dengan menggunakan nama Allah Yang Maha Agong
18- Doa sepanjang bulan Ramadhan
19- Ketika perhimpunan umat Islam dalam majlis ‘zikrullah’
20- Doa ketika ditimpa musibah
21- Doa dengan penuh pertautan hati dengan Allah dan penuh keikhlasan
22- Doa orang terzalim terhadap orang yang menzaliminya
23- Doa ibu dan ayah untuk anaknya
24- Doa anak yang soleh untuk kedua ibubapanya
25- Doa orang yang sedang bermusafir
26- Doa orang yang berpuasa sehingga dia berbuka
27- Doa orang yang berpuasa ketika sedang berbuka
28- Doa orang yang terdesak atau terpaksa (dalam kesempitan)
29- Doa pemimpin yang adil (yang melaksanakan syariah Allah dalam pemerintahannya)
30- Doa ketika berwudhu’dengan doa yang ma’tsur( berasal dari Nabi S.A.W )
31- Doa selepas melontar Jumrah as-Sughra
32- Doa ketika melontar Jumrah al-Wusta
33- Doa ketika berada di dalam ka’abah, perlu diketahui bahwa kawasan hijir Isma‘il termasuk Ka‘bah.
34- Doa ketika berada di Safa
35- Doa ketika berada di Marwah
36- Doa ketika berada di Masy’aril Haram
DIANTARA SEBAB-SEBAB DO’A TIDAK DIPERKENANKAN
Suatu ketika seorang lelaki bertanya kepada Ibrahim bin Adham seorang tokoh sufi yang terkenal, apakah yang menyebabkan doa seseorang tidak diterima oleh Allah, Ibrahim bin Adham menjelaskan;
“Antara sebab doamu tidak diterima Allah ialah;
1- Kamu menyatakan bahawa kamu beriman kepada Allah, tetapi kamu tidak menunaikan hak-hakNya
2- Kamu mendakwa bahawa kamu mencintai Rasulullah SAW. Tetapi kamu tidak mengamalkan sunnahnya (dalam kehidupan kamu).
3- Kamu meyakini bahawa al-Quran itu adalah benar, namun kami tidak mengamalkannya (dalam kehidupan kamu)
4- Kamu telah banyak menikmati nikmat Allah, tetapi kamu tidak mensyukurinya
5- Kamu meyakini bahawa iblis dan syaitan itu adalah musuhmu, tetapi kamu menuruti segala tunjuk ajar mereka
6- Kamu menyatakan bahawa kamu meyakini tentang wujudnya syurga, tetapi kamu tidak berusaha melaksanakan amal yang boleh membawa kamu ke sana
7- Kamu menyatakan bahawa neraka itu benar, tetapi kamu kamu tidak berusaha menjauhkan diri darinya, bahkan melakukan perbuatan yang bakal mencampakkan dirimu ke sana
8- Kamu menyatakan bahawa kematian itu adalah satu kebenaran, tetapi kamu tidak bersedia dengan amalan untuk menghadapinya
9- Kamu bangun setiap pagi dan sering memperkatakan keaiban orang lain, tertapi kamu lupakan keaiban dirimu sendiri
10- Kamu selalu menghantar jenazah ke kuburan, tetapi kamu langsung tidak mengambil iktibar daripadanya, bahawa kamu juga akan dibawa ke sana.”
No comments:
Post a Comment