Sunday, 9 September 2012
Mari kita bersederhana dlm hidup
Assalamualaikum Warahmatullahi Ta'ala Wabarakatuh...
Segala puji-pujian kehadrat Allah subhanahu wata'ala, kepada-Nya kita menyembah. Salam serta selawat ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad, Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam, ahli keluarga baginda serta para sahabat baginda yang berjuang menegakkan Islam di muka bumi ini.
Kalau kita menyusuri perjalanan hidup Rasulullah SAW, sejak kecil sehinggalah saat wafatnya, ternyata baginda tidak pernah mengecap hidup mewah. Dalam segenap sudut kehidupan baginda, sama ada cara berpakaian, perhiasan, dalam soal makanan dan sebagainya, berada di paksi kesederhanaan. Pada hal baginda memang mampu untuk hidup bermewah, namun keimanan yang jitu di dada baginda justeru mengalahkan segala-galanya. Sila ikuti kesederhanaan-rasulullah, secebis sirah teladan tentang kesederhanaan Rasulullah SAW.
Dalam menjalani bahtera kehidupan, Islam memberi garis panduan yang cukup sempurna bagi manusia mencapai puncak kesejahteraan. Hidup menurut ukuran Islam ialah menikmati kesejahteraan di dunia dan di akhirat nanti. Demi merealisasikan harapan yang murni itu, setiap orang Islam haruslah mengamalkan sifat kesederhanaan dalam segenap segi kehidupannya. Sifat ini dipraktikkan Nabi Muhammad SAW dan juga para sahabat baginda, sehingga mereka muncul di permukaan sebagai insan yang sewajarnya diteladani, yang cemerlang dan dirahmati Allah SWT.
Suasana sekarang, kenaikan harga barang keperluan harian yang sepertinya tidak terbendung mampu meletakkan masyarakat dalam kerisauan. Apa lagi bagi golongan berpendapatan rendah. Namum kemelut ini boleh dihadapi dengan lapang dada sekiranya ada kesedaran orang Islam mengambil kebijaksanaan bagaimana mengurus kewangan agar supaya dapat menepati konsep kesederhanaan. Antaranya berjimat cermat dan hanya membeli barang yang diperlukan saja (tidak mengikut kehendak hawa nafsu yang merosakkan), serta yang paling utama ialah tindakan yang diambil menepati jalan Allah. Dengan itu, ia dapat mengelak kemurkaan Allah dan sebaliknya memperoleh tambahan nikmat-Nya yang menjanjikan kesejahteraan sejati.
Perhatikan saja firman Allah SWT berikut yang mafhumnya, “Sesungguhnya jika mereka tetap berjalan lurus di atas jalan itu (agama Islam), nescaya Kami curahkan kepada mereka air yang lebat (akan memberi minum kepada mereka air yang segar atau rezeki yang banyak). Untuk Kami beri cubaan kepada mereka padanya. Dan barang siapa yang berpaling dari peringatan Tuhannya (al-Quran), nescaya akan dimasukkan-Nya ke dalam azab yang amat berat.” (Surah al-Jin [072], ayat 16~17)
Islam menggalakkan umatnya hidup dalam kesederhanaan dari semua aspek. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya, “Allah memberikan rahmat kepada seseorang yang berusaha mencari harta dengan jalan yang halal dan membelanjakannya dengan cara sederhana dan berhemah dan menabung kelebihannya untuk hari susah dan hajatnya.” (Hadis riwayat al-Ibn an-Najjar)
Pengawalan terhadap keinginan dan desakan hati adalah amat perlu sebagai satu cara untuk mengawal nafsu boros. Rezeki dan kemewahan hidup semuanya datang dari Allah SWT. Oleh itu sikap berlumba-lumba mengumpul harta dan kemewahan harus dielakkan kerana ia menunjukkan sikap rakus dan boleh memberikan risiko yang tidak baik dalam perhubungan sehingga menyebabkan berlakunya permusuhan sesama sendiri.
Cara membelanjakan harta menentukan hidup seseorang itu berkat atau tidak di mana kehidupan tidak akan menjadi tenang jika harta disalurkan atau digunakan pada perkara-perkara yang haram dan tidak halal. Bersederhana dalam berbelanja bermaksud bahawa seseorang itu apabila berbelanja dia tidak berlebih-lebihan dan tidak pula kedekut tetapi berada di tengah-tengah antara dua keadaan tersebut, seperti perintah Allah SWT dalam surah al-Furqaan [025], ayat 67.
Renung-renungkan!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment