Saturday, 28 July 2012

Nostalgia berpuasa zaman kanak2



APABILA berada dibulan puasa, kita akan teringat ketika zaman kanak2 dulu.Teringatkan, emaklah orang yang paling berpengaruh membina keinginan kita untuk berpuasa. Pendekatan pertama yang biasa emak gunakan ialah dengan meminggirkan kita ketika waktu berbuka. Tatkala ahli keluarga yang lain enak menjamah hidangan, emak suruh kita ‘main jauh-jauh’ kerana kita tidak layak untuk makan bersama mereka kerana tidak berpuasa.

Situasi ini membuatkan kita berasa diketepikan. Perasaan ingin berpuasa mula datang membuak-buak. Tentu sekali emak akan gembira bila kita suarakan hasrat hendak berpuasa. Kata emak, ‘Berpuasa sekerat hari pun tak apa.’ Maka keesokannya, kita mulalah bangun bersahur meskipun makan dengan mata yang terpejam.

Pada siang harinya, kitalah yang bangun paling lewat kerana kelesuan. Tetapi emak akan menggalakkan kita terus berpuasa bila melihat kita melepek di lantai simen kerana ingin menyegarkan badan. Kata emak, ‘Lepas pukul 12.00, bolehlah berbuka.’ Dengan wajah yang pucat dan monyok, kita mengangguk lesu. Bila terasa haus, kita ke bilik mandi untuk basuh muka dan menjirus air ke kepala. Mungkin dalam diam-diam kita berpura-pura tertelan seteguk dua air menghilangkan dahaga! Tepat jam 12, mulalah kita mengendeng di dapur. Dan, emak pun menghidangkan sepinggan nasi.

Tetapi menjelang waktu berbuka, sekali lagi kita dipinggirkan dan tidak dapat merasa juadah hidangan keluarga kerana berpuasa sekerat hari. Bermula dari situ, kita mula memasang niat hendak berpuasa penuh. Tentu sekali emak gembira kerana anak kecilnya sudah hendak jadi seperti orang dewasa. Keesokkannya, meskipun hendak berpuasa macam Abang Long, kitalah anak yang paling kuyu mata, paling suka melepek, paling kuat merengek kerana kebulur dan paling kerap melangut ke jam dinding menghitung waktu.

Di sepanjang hari, pelbagai alasan seperti lapar, pening kepala dan haus, dikhabarkan pada emak. Namun emak buat-buat tak dengar keluhan kita, kerana inginkan anaknya berpuasa penuh. Setibanya waktu berbuka, kitalah orang paling awal duduk mengadap juadah dan kitalah yang menjadi perhatian keluarga. Emak dan ayah akan penuhkan pinggan kita dengan segala juadah kerana berbangga akhirnya kita sudah berjaya berpuasa penuh.

Mulalah emak berjanji hendak bagi ganjaran kalau kita dapat meneruskan ibadah puasa. Dia berjanji akan menghidangkan masakan yang kita paling suka. Cakaplah apa sahaja, emak akan sediakan. Ramai juga di kalangan kita yang dijanjikan ganjaran wang ringgit.

Begitulah latihan berpuasa yang kita lalui. Malangnya, penekanan yang selalu dititikberatkan adalah menahan diri daripada makan dan minum. Oleh kerana kita telah dilatih sebegitu, tanpa kita sedari, makanan menjadi agenda utama bulan puasa. Kita sudah terbawa-bawa perangai budak hingga ke dewasa. Kita membeli lebih makanan daripada biasa. Kita minum pelbagai jenis air di bulan ini. Lihatlah sesaknya bazar-bazar Ramadan yang dibuka di bandar-bandar kecil dan besar di seluruh negara. Kesemuanya untuk memenuhi nafsu makan kita.

Bila lagi kita hendak berpuasa dalam ertikata yang sepatutnya? Mengapa kita terbawa-bawa perangai kanak-kanak kita setiap kali tibanya bulan puasa? Biarlah sekurang-kurangnya kekerapan kita membeli makanan di luar adalah sama seperti hari-hari biasa. Kalau dahulu kita asyik mengembangkan hidung dan menjenguk ke dapur menghidu aroma masakan emak, setelah dewasa, kita asyik melayari internet pula untuk melihat juadah apa yang diingini buat berbuka. Bukankah apabila kita berpuasa sunat pada Isnin dan Khamis, nafsu kita boleh dikontrol dan tidak meliar apabila melihat makanan?

Apakan daya, pengetahuan kebanyakan emak tentang puasa biasanya berbentuk ritual. Dia melayan nafsu makan kita sebagai anak kecil. Penekanan menahan nafsu mata, telinga dan lidah jarang sekali ditarbiahkan kepada kita. Begitu juga, dia tidak sampaikan kepada kita peri pentingnya memperbanyakkan ibadah.

Benar. Kita memperdalami sendiri erti puasa melalui ceramah, kuliah dan pembacaan. Ilmu puasa kita kini lebih lengkap, lebih dewasa. Tetapi bila tiba bab makan, kita kalah bila jadi budak-budak kembali. Kita gagal dalam menangani cabaran fizikal berpuasa.Mengapa begitu? Justeru itu, mengapa tidak kita memperbetul minda khususnya hal makan minum di bulan Ramadan.

Buat permulaan, ramai yang belum mencuba keenakan berbuka secara Rasulullah.
Adalah Rasulullah s.a.w berbuka dengan kurma basah (ruthab), jika tidak ada ruthab maka berbuka dengan kurma kering (tamr), jika tidak ada tamar maka minum dengan satu tegukan air.” (Anas bin Malik r.a)

Cara ini simple, mengenyangkan dan tentu sekali tidak memberatkan perut hingga mengantuk tatkala bersolat terawih. Mari kita tinggalkan nostalgia makan minum di zaman kanak-kanak itu. Ia hanya sesuai untuk budak-budak.


1 comment:

  1. tk perasan pulop kak zu dh start blog, nanti zie bookmark :) nk kena baca sukmo nih..:)

    ReplyDelete